Salah satu tempat menarik dan harus dilawati, air terjun Chamang terletak di Bentong Pahang cuma lebih kurang 70km dari Kuala Lumpur dan mengambil masa hanya sejam untuk tiba.
Kami bergerak seawal pagi untuk mendapatkan tempat yang bagus dan kurang gangguan. Bekalan dan bahan makanan diperiksa sekali lagi agar cukup. Laluan Karak diredah dengan tenang. Awan kelihatan mendung seperti hari mahu hujan. Dalam hati kami berharap dan berdoa agar tiada masalah akan berlaku.
Setelah memasuki tol Bentong kami mula melalui pekannya. Suasana pagi agak sederhana sibuk dengan aktiviti perniagaan yg mula dijalankan. Kami terus mencari papan tanda untuk ke Chamang. Setelah kami menemui simpang ke Chamang kami mula menyusuri laluan ke suatu bukit. Salah seorang dari kami teringatkan Bukit Putus di Negeri Sembilan. Jalannya berbukit dan berliku serta selekohnya agak tajam. Mujur waktu pagi tiada kenderaan lain. Tingkap mula dibuka dan angin pagi yang dingin serta bunyi-bunyi alam terus dapat dirasakan. Keghairahan mula menggamit perasaan kami setelah terlihat deruan air menuruni bukit.
Walaupun air terjunnya cantik kami tidak dibenarkan mandi di situ kerana airnya yang terlalu deras dan berbahaya. Papan tanda juga menasihatkan kami agar sentiasa berwaspada dengan arus deras dengan tiba-tiba.
Kami mula mencari langkah ke tempat yang sesuai untuk dijadikan alas berehat. Arang api mula dibakar. Ayam perap, udang, sosej dan sotong mula disusun menunggu untuk dimasak. Sambil menunggu, nasi goreng yang telah disediakan di rumah sebelum pergi dijamah dahulu sebagai sarapan pagi. Aneka buah dan makanan ringan pun ada sebagai penyeri juadah. Terima kasih kepada penyedia makanan. Cukup bagi kami untuk tidak singgah di gerai yang banyak disediakan di sini.
Air sungai di Chamang sejuk sekali. Meletak kaki ke dalam jauh sekali. Namun dek kerana ada yang telah terjun ke dalam, perasaan ghairah dan berani mula datang. Ahh..lama-lama nanti panas la rasanya. Sambil melangkah perlahan, badan dijirus sedikit demi sedikit agar kurang kejutan sejuk. Badan pun terus menyelam ke dalam. Pertama kali rasa memang sejuk, lama kelamaan menjadi biasa. Seronok mula menguasai diri. Berenang, menyelam, melompat dan berendam di dalam air. Sesekali bergerak ke arah batu jeram dan berehat di atasnya sambil dilalui oleh air yang deras mengalir. Terasa di dalam jakuzi pun ada. Sambil berbaring melihat alam flora dan fauna yang indah.Sesekali terlupa dengan kesibukan masa di tengah kota. Seronok memang seronok!...
Aktiviti di selang seli antara makan dan mandi. Bila terlalu sejuk keluar mencari makanan dan panaskan badan. Bila terasa panas masuk semula ke dalam air. Cuaca yang tidak berubah banyak sejak pagi menjadikan kami leka sehingga ke petang.
Setelah hampir pukul 4 petang kami pun bersiap-siap untuk pulang. Sisa makanan dan sampah yang lain dikumpulkan semula untuk dibuang ke dalam tong sampah. Semasa kami tiba tadi kami terkejut dengan satu kelompok makanan serta pinggan kertas yang bertaburan di suatu tempat.. Sedih kami memikirkan apabila ada yang sanggup berbuat demikian di tempat begini. Sekiranya kita datang untuk melihat tempat yang cantik maka kita juga harus meninggalkan tempat itu dengan keadaan yang sama. Cuba fikirkan sekiranya kita datang ke tempat yang dicemari dengan sampah sarap, tentu hati kita akan berasa terkilan bukan? Sebagaimana itu jugalah kita harus memikirkan tentang perasaan org lain. Seolah-olah mereka itu tadi sebenarnya tidak layak untuk datang menikmati tempat yang cantik sebegini kerana tiada perasaan bersyukur atas nikmat tuhan.
Setelah bersiap dan mengambil gambar-gambar terakhir untuk kenangan, kami pun bergerak pulang. Sambil pulang kami berehat sebentar di Hentian Genting Sempah untuk mendapatkan seteguk cawan kopi yang panas dan bersembahyang jama'. Sepanjang masa kami berbual dan berjenaka tentang isu-isu semasa. Setelah menyambung pulang ke Kuala Lumpur, kami sempat pula singgah di Bangi Kopitiam sebelum pulang ke rumah masing-masing. Yang penting kepuasan dan kegembiraan jelas terpancar di setiap wajah kami. Dan untuk aku, ia ternyata sebahagian 'semi escape' di dalam hidupku.
-macam karangan sekolah menengah pulak.
-macam karangan sekolah menengah pulak.
alahai besh nyaaaaaaaaaaaa
ReplyDeleteyong suka!
hihi!!:)
ReplyDelete